Lawatan Rasmi Ke Singapura Bersama H.E. Mr Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan Singapura
Syukur Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Singapura diteruskan dengan sesi pertemuan bersama H.E. Mr Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan Singapura, di Orchard, Singapura.
Pertemuan ini membuka ruang perbincangan khususnya berkaitan pengukuhan sistem kesihatan awam, cabaran kekurangan tenaga kerja kesihatan, dan langkah-langkah meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat. Kami bersetuju bahawa perkongsian data dan pengalaman antara kedua-dua pihak amat penting untuk mempercepatkan pembangunan sistem kesihatan yang lebih inklusif dan responsif.
Kami turut berbincang potensi kerjasama dalam ruang lingkup JS-SEZ, khususnya dalam teknologi perubatan, pelaburan kesihatan, pelancongan perubatan, serta pembangunan bakat. Johor mencadangkan agar latihan profesional dan peningkatan kemahiran kakitangan kesihatan dilaksanakan bersama institusi kesihatan terkemuka Singapura, termasuk meneroka kerangka sandbox sebagai platform dasar kesihatan progresif di kawasan JS-SEZ.
Dalam semangat keterbukaan, kami turut berbincang mengenai isu berkaitan pengambilan tenaga kerja kesihatan. Kami sependapat bahawa sebagai dua negara jiran yang berkongsi hubungan erat dan saling menghormati, sebarang inisiatif mobiliti tenaga kerja harus dilaksana melalui saluran rasmi dan kerangka kerjasama dua hala yang tersusun dan telus.
Insya-Allah, pertemuan ini akan menjadi asas kepada kerjasama kesihatan yang lebih mampan dan menyeluruh. Bagi Johor, kesihatan rakyat adalah keutamaan, dan kami yakin bahawa kerjasama seperti ini akan memperkukuh kualiti perkhidmatan, memperluas akses kesihatan, dan membina sistem yang lebih adil serta responsif demi kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




