Majlis Makan Malam anjuran Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF)

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Majlis Makan Malam anjuran Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF) di Grand Hyatt, Singapura.

Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF) merupakan inisiatif Kerajaan Singapura yang menjemput pemimpin politik, ekonomi dan pemikir berpengaruh dari seluruh dunia untuk melawat negara itu, bertukar pandangan strategik, dan memperkukuh kerjasama dua hala melalui rangkaian diplomasi berasaskan kepercayaan dan nilai bersama.

Sebagai penerima ke-82 Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF) dan rakyat Malaysia kesembilan yang diberi penghormatan ini, jemputan ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi. Ia merupakan simbol kepercayaan yang mendalam serta hubungan persahabatan yang kukuh antara Johor dan Singapura, hubungan yang semakin erat, saling melengkapi dan penuh potensi untuk dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

Majlis ini menjadi wadah intelektual yang sangat bermakna. Sesi pertukaran pandangan bersama barisan kepimpinan LKYEF telah membuka ruang perbincangan tentang isu-isu strategik seperti daya saing serantau, tadbir urus berintegriti dan pembangunan mampan. Ini memberi inspirasi besar kepada Johor untuk meneliti, menyesuaikan dan mengadaptasi pendekatan yang selari dengan aspirasi negeri yang progresif dan berfokuskan rakyat.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak LKYEF dan Kerajaan Singapura atas layanan yang mesra, penuh hormat dan tersusun rapi. Insya-Allah, Johor akan terus komited untuk memainkan peranan sebagai rakan strategik yang dinamik kepada Singapura, demi membawa manfaat kepada rakyat di kedua-dua belah Tambak untuk generasi akan datang. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor