Lawatan Ke Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram (RKKMUT), Johor
Syukur Alhamdulillah, saya bersama YB Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md On, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor berkesempatan mengadakan lawatan ke Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram (RKKMUT), Johor.
RKKMUT kini menempatkan kanak-kanak perempuan berusia antara 1 hari hingga 18 tahun yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Bahagian V). Dengan kapasiti maksimum seramai 30 orang, pusat ini memainkan peranan dalam memberi perlindungan sementara dan menyediakan persekitaran selamat serta kondusif bagi pertumbuhan emosi dan fizikal kanak-kanak.
Selain meneliti fasiliti, saya turut meninjau keperluan bagi menaik taraf kemudahan asas seperti ruang tidur, tandas, surau serta taman permainan. Inisiatif penambahbaikan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan lagi keselesaan penghuni dan kecekapan pengurusan RKKMUT.
Dalam lawatan ini, saya turut melihat tapak projek pembaikan cerun di kawasan RKKMUT. Projek ini bagi memastikan keselamatan kawasan sekitar serta mengelakkan risiko kejadian tanah runtuh yang boleh menjejaskan keselamatan penghuni. Kerja-kerja pembaikan telah diarahkan dan perlu dilaksanakan segera, mengikut jadual dan mematuhi spesifikasi keselamatan yang telah ditetapkan.
Saya percaya ini adalah amanah yang perlu dipikul bersama. Kerajaan Negeri kekal komited untuk memastikan setiap kanak-kanak di bawah jagaan Negeri Johor menerima perlindungan sewajarnya serta peluang yang adil untuk membina masa depan yang lebih cerah. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




