Majlis Menandatangani Dokumen Mandarin Oriental Hotel Group
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri Majlis Menandatangani Dokumen dan Sidang Media pengumuman rasmi Mandarin Oriental Hotel Group sebagai operator baharu salah satu resort utama di Desaru Coast.
Beberapa bulan lalu, tular berita penutupan salah satu resort terkemuka di Desaru Coast pada ketika Johor sedang mencatat momentum positif menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dan sektor pelancongan pula diangkat sebagai salah satu sektor utama di bawah zon ini.
Pelantikan Mandarin Oriental bukan sekadar penjenamaan semula. Ia adalah isyarat jelas bahawa Johor terus diyakini sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan berkelas dunia.Jenama ini terkenal di pentas global, dan kini mereka memilih Johor sebagai tapak seterusnya selepas hampir 30 tahun, tepat pada waktunya menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Kerajaan Negeri yakin penjenamaan semula ini bakal menjadi pemacu ekonomi setempat dengan mewujudkan lebih banyak peluang kerja, membuka ruang kepada usahawan tempatan, dan menjana pendapatan untuk rakyat. Hal ini kerana lebih 70% daripada 1,500 kakitangan di Desaru Coast adalah anak Johor sendiri.
Melalui inisiatif Johor Talent Development Council (JTDC), Desaru Coast akan menubuhkan Pusat Latihan Hospitaliti bertaraf antarabangsa dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, yang boleh berdiri sama tinggi di pentas global, sambil terus menetap dan menyumbang di tanah sendiri. Johor komited untuk membina ekosistem pelancongan yang mampan.
Syabas dan tahniah kepada Desaru Coast atas kejayaan menjalin kerjasama bersama jenama hospitaliti terkemuka dunia. Selamat datang dan terima kasih kepada Mandarin Oriental Hotel Group atas keyakinan terhadap potensi Johor. Semoga kolaborasi ini menjadi pemangkin kepada transformasi Johor sebagai hab pelancongan bertaraf antarabangsa, sekaligus memberi limpahan manfaat kepada Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




