Perasmian Program Pemerkasaan Masyarakat Madani KEMAS Negeri Johor 2025

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan turun padang menyantuni masyarakat terutamanya keluarga besar saya di Simpang Renggam. Hati saya sentiasa gembira setiap kali dapat balik ke kawasan berjumpa dengan keluarga besar saya di sini.

Semasa balik ke kawasan, saya berpeluang merasmikan Program Pemerkasaan Masyarakat Madani KEMAS Negeri Johor 2025 yang diadakan di Dewan Muafakat, MDSR yang menghimpunkan lebih 1,500 warga KEMAS dari seluruh Johor. TABIKA KEMAS kini mula dijajarkan sebagai ‘feeder’ kepada Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ). Ini memerlukan penyelarasan kurikulum termasuk elemen STEM, satu transformasi yang akan membawa pendidikan prasekolah Johor ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing.

Dalam program ini, Kerajaan Negeri turut menyalurkan RM1.5 juta bagi menaik taraf TABIKA dan TASKA KEMAS serta RM1.8 juta untuk program Iqra’ & Fardu Ain (IQFA) sebagai salah satu usaha memperkukuh pendidikan awal dan asas keagamaan anak-anak Johor. Saya juga menyampaikan Anugerah Tokoh Pendidik KEMAS kepada dua pendidik cemerlang yang telah lama berbakti membentuk generasi masa depan.

Kemudian, saya meluangkan masa bersama keluarga angkat dari DUN Machap dan Layang-Layang dalam satu sesi santai yang cukup bermakna. Dalam kesempatan itu, saya menyampaikan bantuan bagi meringankan sedikit beban mereka. Setiap sen bantuan bukan sekadar angka, tetapi tanda prihatin dan ikhtiar kita untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan.

Seterusnya, saya turut berpeluang meninjau perkembangan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggam serta beramah mesra bersama wakil-wakil belia, NGO dan penggiat sukan setempat. Pusat belia ini sedang giat dibangunkan selaras dengan aspirasi DYAM Pemangku Sultan Johor agar setiap daerah memiliki kemudahan yang menjadi ruang pembinaan sahsiah, kepimpinan dan potensi anak muda Johor.

Saya turut berkesempatan meninjau tapak projek Residensi Bangsa Johor Simpang Renggam yang dibangunkan di bawah inisiatif Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ). Sebanyak 80 unit rumah akan dibina dalam fasa ini bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah. Insya-Allah, ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak projek RMMJ di Simpang Renggam, demi memastikan lebih ramai rakyat Johor memiliki rumah sendiri yang selesa dan berkualiti.

Terima kasih kepada semua, khususnya warga Simpang Renggam, atas sambutan yang mesra dan penuh muafakat. Saya sedar dan insaf bahawa masih banyak tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi memastikan setiap lapisan masyarakat merasai nikmat pembangunan ini. Insya-Allah, segala usaha hari ini akan menjadi asas kepada masa depan yang lebih cerah untuk Simpang Renggam dan seluruh negeri Johor.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor