Majlis Pelancaran Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Dataran Mahkota, Kota Iskandar
Menjunjung kasih YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor wakil rasmi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas perkenan mencemar duli merasmikan ke Majlis Pelancaran Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Dataran Mahkota, Kota Iskandar.
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke pelancaran Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang bakal menjadi pemangkin ekonomi futuristik berteraskan digital, bioteknologi dan kejuruteraan. Dengan kedudukan sebagai “Asia’s first circular sandbox ecosystem”, IBTEC memberi isyarat jelas bahawa Johor bersedia menerajui agenda inovasi dan kelestarian rantau ini.
IBTEC bukan sekadar sebuah pembangunan teknologi, tetapi sebuah ekosistem terintegrasi yang dijangka menyumbang RM37.2 bilion kepada KDNK negara serta mewujudkan 330,000 pekerjaan menjelang tahun 2047. Pelaburan sedia ada melebihi RM25 bilion di Sedenak Tech Park mengesahkan keyakinan pelabur global terhadap Johor sebagai destinasi utama industri masa depan.
Terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp), dan semua pihak yang berganding bahu menjayakan agenda strategik ini. Komitmen padu dan penyelarasan yang mantap antara semua pihak memastikan IBTEC dibangunkan secara mampan, tersusun dan berpaksikan “Circular Economy” sebagai pemacu pertumbuhan baharu Johor.
Dengan hala tuju yang jelas, saya yakin IBTEC mampu mengangkat Johor sebagai hab inovasi serantau dan gerbang utama pelaburan berkualiti tinggi di ASEAN. Semoga inisiatif ini membawa limpahan manfaat kepada seluruh rakyat dan memperkukuhkan kedudukan Johor sebagai kuasa ekonomi yang progresif, dinamik dan berdaya saing. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




