Majlis Penghargaan Sedekad Prihatin Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation (TLJCF)
Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah atas perkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Penghargaan Sedekad Prihatin Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation (TLJCF).
Turut mengiringi keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong adalah YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim.
Syukur Alhamdulillah, saya dan isteri berkesempatan hadir ke majlis yang meraikan sokongan padu para penyumbang, sukarelawan, rakan strategik serta seluruh warga kerja TLJCF sepanjang sedekad penubuhannya.
Majlis ini bukan sekadar acara penghargaan, tetapi manifestasi pengiktirafan kepada semua yang telah bersama menjayakan usaha murni TLJCF. Ia turut menjadi platform untuk menampilkan pencapaian, impak program serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perjuangan melawan kanser.
Hasrat Almarhum Tunku Laksamana Johor untuk membantu pesakit kanser mesti diteruskan untuk menjadi kekuatan buat semua. Usaha murni ini kini disambung oleh Kerabat Diraja Johor yang sentiasa dekat dengan rakyat, menziarahi pesakit dan menjadi penyampai semangat kepada mereka yang sedang berjuang.
Melalui majlis ini, Kerajaan Negeri berharap hubungan dengan para penyumbang dapat diperkukuhkan, di samping menarik lebih banyak sokongan dan kerjasama baharu agar lebih ramai pesakit menerima harapan dan bantuan. Semoga segala usaha ini menjadi asbab kebaikan yang berpanjangan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #TunkuLaksamanaJohorCancerFoundation #FightLikeJalil




