Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) Peringkat Negeri Johor

Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menitikberatkan bahawa pendidikan dan pembangunan belia adalah nadi kemajuan negeri Johor. 

Syukur Alhamdulillah. Lebih 5,000 anak muda Johor membanjiri Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru sempena Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) Peringkat Negeri Johor, yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Skuad YPM Johor benar-benar luar biasa. Dengan lebih 4,000 ahli daripada keseluruhan 20,300 ahli Skuad YPM di seluruh negara, Johor muncul sebagai negeri dengan penyertaan tertinggi, melibatkan pelajar Tingkatan 5 dari 26 Parlimen di seluruh negeri. Ini membuktikan komitmen dan semangat luar biasa anak muda Johor untuk menimba ilmu, menanam jati diri, dan menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Inisiatif ini bukan sekadar platform latihan dan pembelajaran, tetapi juga medan untuk membentuk kemenjadian murid secara menyeluruh dengan melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berdaya kepimpinan, berdisiplin dan berjiwa kenegaraan. Ia selari dengan hasrat Johor untuk melahirkan generasi pelapis yang berilmu, berakhlak, dan berjiwa besar.

Kerajaan Negeri Johor amat menghargai usaha Yayasan Pelajaran MARA, Kerajaan Persekutuan, serta semua pihak yang sentiasa berganding bahu dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan negeri ini. Johor kekal komited untuk memastikan setiap anak muda mendapat akses pendidikan berkualiti secara inklusif di seluruh pelusuk negeri.

Semoga pelancaran Skuad YPM Johor 2025 ini menjadi titik tolak kepada lahirnya lebih ramai generasi muda Bangsa Johor yang unggul, memiliki ilmu, integriti dan semangat juang tinggi dalam membina negeri dan negara. Semoga Johor akan terus menjadi negeri contoh dalam pendidikan, kemenjadian murid dan pembangunan insan. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

#BangsaJohor #MajuJohor #OrangMudaJohor #SkuadYPMJohor #XtifJohor