Lawatan Ke Republic Polytechnic (RP), Singapura

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang mengadakan lawatan ke Republic Polytechnic (RP), Singapura, sebuah institusi dikenali sebagai pelopor pendekatan Problem-Based Learning (PBL), iaitu kaedah pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah sebenar bagi melahirkan pelajar yang berfikiran kritikal, kreatif dan bersedia memenuhi keperluan industri masa kini.

Perbincangan bersama pihak pengurusan RP yang diketuai oleh Pengerusi, Mr Abel Ang dan pasukan memberi tumpuan kepada peluang kerjasama strategik dalam bidang pembangunan kemahiran teknikal dan pendidikan TVET. RP kini mempunyai lebih 11,900 pelajar, 1,350 kakitangan termasuk 885 tenaga akademik, serta rangkaian 2,000 rakan industri dengan lebih 200 memorandum persefahaman (MoU) yang aktif.

Lawatan ini turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh bakat tempatan melalui program penempatan tenaga pengajar Johor di RP dan inisiatif jambatan kebolehpasaran graduan (bridging programme) yang akan membuka laluan lebih luas kepada pelajar TVET Johor ke arah masa depan yang lebih kompetitif.

Saya turut berpeluang meninjau kemudahan utama RP seperti Supply Chain Innovation Lab (SCIL) dan Clean Room Showcase. RP turut menampilkan keupayaan penyelidikan terapan dalam bidang inovasi rantaian bekalan, automasi dan teknologi kejuruteraan melalui Centre of Innovation for Supply Chain Management (COI-SCM) yang terbukti berkesan menghubungkan dunia akademik dan industri sebenar.

Semoga usaha dan kerjasama strategik ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh ekosistem TVET Johor, meningkatkan kebolehpasaran graduan, serta mengangkat Johor sebagai negeri peneraju pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di rantau ini. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

#BangsaJohor #MajuJohor #JSSEZ #IMFCJ #JTDC