Majlis Pelancaran Tahun Melawat Johor 2026 dan Festival Budaya Malaysia 2025 di Dataran Bandaraya Johor Bahru
Syukur Alhamdulillah, saya berbesar hati dapat bersama lebih 20 ribu Bangsa Johor dan para pengunjung di Majlis Pelancaran Tahun Melawat Johor 2026 dan Festival Budaya Malaysia 2025 di Dataran Bandaraya Johor Bahru.
Walaupun hujan lebat dan berdepan pelbagai cabaran, semangat serta sokongan luar biasa yang ditunjukkan membuktikan kecintaan Bangsa Johor terhadap warisan, budaya dan negeri Johor. Lebih membanggakan, Johor mencipta sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records menerusi persembahan Zapin yang disertai oleh 4,000 penari secara serentak, satu pencapaian yang mengangkat seni budaya Johor ke pentas nasional dan antarabangsa.
Tahun Melawat Johor 2026 mensasarkan kehadiran 12 juta pelancong asing dengan potensi sumbangan melebihi RM42 bilion kepada ekonomi negeri. Pelancaran serentak dua program utama ini mencerminkan komitmen kukuh Kerajaan Negeri Johor bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dalam memperkasa sektor pelancongan, memperluas pasaran antarabangsa serta merancakkan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Senai.
Dalam memastikan manfaat pelancongan dirasai secara langsung oleh rakyat, Kerajaan Negeri turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Grab Malaysia. Inisiatif ini merangkumi penyediaan 20,000 kod promosi Grab Ride untuk pelancong serta sokongan kepada lebih 100 restoran tempatan melalui kempen GrabFood dengan komisen istimewa, sekali gus membantu peniaga kecil berkembang dan merancakkan ekonomi setempat.
Melalui perancangan strategik Tourism Johor, pelbagai inisiatif terus diperkukuh termasuk pembangunan produk pelancongan baharu, penambahbaikan infrastruktur, serta penganjuran acara berskala besar yang lebih berimpak. Insya-Allah, segala usaha ini akan memastikan Johor terus muncul sebagai destinasi pelancongan yang mesra rakyat, moden dan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2026.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #MajesticJohor #TahunMelawatJohor2026 #VisitJohor2026




