Penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) 2025 Siri 2 bagi DUN Machap
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan balik ke kawasan Simpang Renggam bagi menyempurnakan Penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) 2025 Siri 2 bagi DUN Machap.
Menerusi Belanjawan Johor 2026, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan 23 inisiatif di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM170.7 juta, yang memberi manfaat kepada lebih 355,000 penerima di seluruh negeri Johor.
Bagi penyampaian BKJ di DUN Machap kali ini, seramai 4,356 penerima telah menerima manfaat melibatkan jumlah peruntukan hampir RM800,000. Bantuan ini merangkumi pelbagai kumpulan sasar termasuk ibu tunggal, pelajar sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penggiat seni usia emas, serta Penggerak Sakinah dan Wanita.
Melalui program ini juga, saya berkesempatan meluangkan masa menyantuni rakyat, bertanya khabar dan mendengar sendiri denyut nadi kehidupan masyarakat di DUN Machap.
Kerajaan Negeri Johor akan terus memastikan agenda kebajikan dilaksanakan secara tersusun, telus dan berterusan. Kita percaya bahawa pembangunan negeri yang mampan tidak hanya diukur melalui projek besar dan angka pelaburan, tetapi juga melalui keupayaan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.
Terima kasih atas sambutan dan kerjasama warga DUN Machap. Semoga setiap bantuan yang disalurkan ini membawa keberkatan, meringankan beban penerima dan menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih sejahtera. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




