Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah Daerah Johor Bahru

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) kepada seramai 902 penerima Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menerusi Program Mega Johor Housing One Stop Centre (J-HOME OSC) Daerah Johor Bahru.

Program ini adalah usaha bersama Kerajaan Negeri dengan pemaju, agensi dan institusi kewangan bagi membantu rakyat Johor terutamanya golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri. Ia juga sebahagian daripada sasaran besar Johor untuk menyediakan 100,000 unit RMMJ menjelang 2030, dengan lebih 30,000 unit telah dan sedang dilaksanakan dalam Fasa Pertama (2022–2026).

Terima kasih saya ucapkan kepada YB Dato’ Jafni, Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), semua agensi teknikal, dan pemaju terutamanya EcoWorld, SP Setia, Country View serta Scientex atas komitmen mereka dalam menyediakan rumah mampu milik berkualiti di lokasi strategik seperti Pasir Gudang, Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Usaha ini akan terus digerakkan, termasuk pembinaan rumah dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), projek Rumah Transit Bangsa Johor, rumah percuma untuk keluarga miskin tegar serta program baik pulih rumah daif, agar tiada golongan yang tercicir dalam mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan selamat.

Kerajaan Negeri akan terus komited membela rakyat dan memastikan setiap keluarga mempunyai peluang untuk memiliki kediaman yang mampu milik, selesa dan berkualiti. Semoga inisiatif ini akan terus memberi manfaat kepada rakyat Johor dalam menikmati kediaman yang selesa buat keluarga kecil mereka. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor