Meninjau Tapak Projek Pembangunan Residensi Bangsa Johor Di Parit Jawa, Muar
Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menitahkan agar lebih banyak rumah mampu milik dibangunkan di seluruh negeri Johor.
Syukur Alhamdulillah, saya telah turun padang untuk meninjau tapak projek pembangunan Residensi Bangsa Johor di Parit Jawa, Muar yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah mampu milik untuk Bangsa Johor.
Projek yang melibatkan pembinaan sebanyak 242 unit rumah teres satu tingkat ini direka dengan keluasan antara 800 hingga 900 kaki persegi serta dilengkapi dengan 3 bilik tidur serta 2 bilik air. Ia akan ditawarkan pada harga RM100,000 dan RM150,000, dan diberi keutamaan kepada penduduk di kawasan Muar.
Tapak projek ini terletak di kawasan strategik berhampiran kemudahan awam seperti klinik, sekolah dan masjid, dengan jarak hanya sekitar 2 kilometer dari pekan Parit Jawa. Selain rumah kediaman, projek ini turut menyediakan kemudahan komuniti seperti surau dan dewan terbuka, demi membina persekitaran hidup yang harmoni dan sejahtera.
Saya sedar dan insaf bahawa keperluan terhadap perumahan yang selesa, berkualiti dan mampu milik bukan lagi satu kehendak, tetapi satu keperluan asas yang mendesak. Justeru, Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan setiap keluarga mempunyai peluang yang adil untuk memiliki rumah sendiri.
Insya-Allah, pembinaan projek ini akan bermula pada September 2025 dan dibuka untuk penawaran kepada rakyat Johor mulai awal tahun 2026. Semoga usaha ini menjadi satu lagi langkah bermakna ke arah merealisasikan Agenda Maju Johor 2030 yang inklusif, progresif dan berfokuskan kesejahteraan rakyat.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




