Penghargaan Atas 34 Tahun Khidmat Bakti Yb Dato’ Haji ’on Bin Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor

Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada YB Dato’ Haji ’On bin Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, yang menamatkan perkhidmatan setelah lebih 34 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam Negeri Johor, bermula 1 April 1992 hingga 27 Oktober 2026.

Bermula di Pejabat Tanah Daerah Kluang, beliau telah menggalas pelbagai amanah penting dalam pentadbiran negeri, antaranya sebagai Pegawai Daerah Pontian dan Muar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang serta Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor.

Secara peribadi, saya mula bekerja rapat dengan beliau ketika menggalas amanah sebagai EXCO Belia dan Sukan Johor. Saya amat menghargai segala sokongan, nasihat dan kerjasama yang diberikan, khususnya dalam membantu menggerakkan Southern Volunteers ketika kita berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 serta bencana banjir yang melanda negeri Johor.

Saya masih ingat bagaimana beliau banyak membantu dalam penyelarasan gerak kerja Southern Volunteers bagi memastikan usaha bantuan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Pengalaman, komitmen dan kesungguhan beliau amat bermakna, bukan sahaja kepada saya secara peribadi, malah kepada seluruh pasukan yang bersama-sama memikul amanah ketika itu.

Sepanjang lebih tiga dekad perkhidmatan, segala jasa dan sumbangan beliau dalam memperkukuh pentadbiran Kerajaan Negeri serta menjayakan pelbagai agenda pembangunan demi kesejahteraan Bangsa Johor amat dihargai. Sesungguhnya, segala khidmat bakti dan pengorbanan beliau akan sentiasa dikenang.

Selamat bersara, Dato’. Terima kasih atas segala jasa, nasihat dan kerjasama yang telah diberikan untuk Johor. Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan, ketenangan dan keberkatan dalam menjalani alam persaraan bersama keluarga tersayang. Semoga segala jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan selama ini menjadi amal jariah yang berpanjangan. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor

Skip to content