Majlis Perasmian Program Jelajah Karnival KPDN 2025
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Majlis Perasmian Program Jelajah Karnival KPDN 2025 bersama YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, bertempat di Puteri Harbour, Iskandar Puteri.
Johor berbangga menjadi tuan rumah Jelajah Karnival KPDN 2025, sebuah inisiatif proaktif KPDN yang membawa advokasi kepenggunaan, bantuan langsung dan maklumat kos sara hidup terus kepada rakyat. Program ini memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Garis Panduan Elak Iklan Palsu, Jualan RAHMAH dan Bakul RAHMAH yang memberi impak terus kepada kesejahteraan rakyat.
Menerusi program ini, sebanyak 54 usahawan tempatan turut serta dalam Kempen Beli Barangan Malaysia, menunjukkan potensi tinggi produk tempatan. “Jom Beli Lokal” pula menyerlahkan keupayaan usahawan Johor dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan meneroka pasaran global. Pavilion Sara Hidup turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta dengan khidmat pengguna, bantuan sosial dan peluang pekerjaan.
Dalam program sama, saya turut merasmikan promosi “Happy Hour” Jualan RAHMAH, yang menawarkan barangan keperluan asas dengan potongan harga sehingga 50%. Sebanyak RM700,000 diperuntukkan sebagai subsidi untuk menjayakan program ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Di Johor, usaha ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan program #JualanKasihJohor yang kini membuahkan hasil memberangsangkan. Johor berjaya merekodkan sifar miskin tegar bagi fasa pertama dan kedua sejak tahun 2024. Ini merupakan pencapaian besar hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memerangi kemiskinan secara holistik.
Kerajaan Negeri akan terus kekal komited bersama KPDN dalam mengekang inflasi, mengawal harga barangan, dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela. Dengan muafakat yang utuh dan dasar yang berpaksikan rakyat, kita akan terus mara ke hadapan demi Johor yang lebih makmur dan sejahtera. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




