Majlis Sambutan Hari Landskap Negara
Menjunjung kasih Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor atas perkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Landskap Negara (HLN 2025) di Taman Bukit Layang-Layang Pasir Gudang.
Mengiringi bersama, YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim.
Syukur Alhamdulillah, Johor dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Landskap Negara (HLN 2025). Pemilihan ini amat simbolik, mengambil kira kekuatan Johor sebagai hab utama perusahaan tapak semaian dan pembekal tanaman landskap negara. Johor menyumbang lebih 87% tapak semaian negara, menjadikan negeri ini nadi utama dalam rantaian nilai industri landskap Malaysia.
HLN 2025 mengetengahkan kepentingan landskap sebagai elemen strategik dalam pembangunan bandar yang lestari, inklusif dan berdaya tahan. Industri ini bukan sekadar aspek estetika, tetapi berperanan langsung dalam meningkatkan kualiti hidup, menangani perubahan iklim serta mewujudkan persekitaran yang sihat dan harmoni untuk semua.
Johor merupakan satu-satunya negeri yang memiliki Jabatan Landskap Negeri. Ini membuktikan komitmen negeri dalam merancang pembangunan landskap secara sistematik, selaras dengan matlamat Maju Johor 2030 yang menekankan pembangunan mampan, keterangkuman dan kesejahteraan hidup untuk semua lapisan masyarakat.
Dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi, penggiat industri dan komuniti setempat, pelaburan dalam sektor landskap akan terus memperkukuh jenama Johor sebagai negeri yang progresif, mampan dan bersedia menjadi destinasi pelaburan serta pelancongan bertaraf antarabangsa. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




