Majlis Perasmian Program Pesona Keluarga Johor 2025
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Majlis Perasmian Program Pesona Keluarga Johor 2025, anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) di Bakri Junction Ballroom, Muar.
Program Pesona Keluarga Johor 2025 bukan sekadar sebuah inisiatif, tetapi manifestasi kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membina keluarga sejahtera, memperkasa peranan wanita, serta melindungi masyarakat daripada cabaran sosial yang semakin kompleks. Program ini dirangka untuk memperkukuh institusi keluarga, meletakkan wanita sebagai benteng utama dan pencetus perubahan sosial, serta memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya.
Bagi memperkukuh usaha ini, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM11 juta, merangkumi tiga inisiatif utama:
1. Bantuan Tunai One-Off sebanyak RM300 kepada lebih 16,000 ibu tunggal di Negeri Johor;
2. Bantuan Tunai One-Off sebanyak RM300 kepada lebih 18,000 pesakit kanser wanita;
3. RM1 juta peruntukan tambahan bagi memperkukuh lagi program pemerkasaan ekonomi wanita.
Dalam majlis ini, saya juga berkesempatan menyampaikan beberapa sumbangan penting, termasuk Skim Bantuan Peralatan Perniagaan, Sumbangan Tunai Anak Angkat Makmur Johor (AMJ), Hadiah Kecemerlangan Pelajar (AMJ), serta penyerahan Kad OKU baharu berteknologi kod QR. Semua inisiatif ini digerakkan bagi memperkukuh kesejahteraan keluarga, memperkasa wanita, menyokong pelajar, dan membela golongan rentan di negeri Johor.
Semoga segala inisiatif ini menjadi pemangkin kepada kesejahteraan setiap keluarga di Johor. Dengan komitmen, kerjasama serta sokongan semua, saya yakin usaha ini akan terus memberi manfaat yang berpanjangan, dan membuahkan hasil demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




