Penyerahan Hak Milik Tapak Rumah Kediaman Kepada Generasi Kedua FELDA Tenggaroh 2 Dan 6
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang hadir menyempurnakan penyerahan Hak Milik Tapak Rumah Kediaman kepada Generasi Kedua FELDA Tenggaroh 2 dan 6 di Dewan Terbuka FELDA Tenggaroh 6.
Inilah detik bermakna buat ratusan keluarga peneroka yang sekian lama menanti hak mereka. FELDA bukan sekadar tanah rancangan, tetapi rumah impian keluarga yang akhirnya akan membina masa depan anak bangsa. Di Johor, seramai 391 anak FELDA telah diraikan melalui penyerahan geran ini. Ini adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersama komuniti FELDA.
Bagi komuniti FELDA, tanah rancangan bukan sekadar ladang atau penempatan, tetapi simbol harapan dan perjuangan. Dengan penyerahan hak milik ini, generasi baharu kini memiliki kepastian untuk membina masa depan lebih terjamin. Ia adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri sentiasa konsisten bersama warga FELDA, memperjuangkan hak mereka yang diwarisi daripada pengorbanan generasi terdahulu.
Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM4.6 juta kepada pelbagai badan FELDA termasuk JKKR, MBFM, GPW, masjid, surau serta bantuan bakul makanan. Insya-Allah, manfaat ini akan memberi kesan langsung kepada lebih 27,000 peneroka FELDA di seluruh Johor, membuktikan FELDA terus menjadi nadi kekuatan negeri.
Semoga segala usaha dan perancangan berfokus ini membuktikan bahawa komuniti FELDA tidak pernah dipinggirkan, malah sentiasa menjadi keutamaan dan ‘anak emas’ Kerajaan Negeri dalam menjayakan visi Johor yang lebih makmur, maju dan sejahtera. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




