Majlis Perasmian Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas perkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang.

Syukur Alhamdulillah, TMIYC Pasir Gudang merupakan pusat ketiga yang telah dirasmikan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail daripada lima buah TMIYC yang kini telah dan sedang dibangunkan di seluruh negeri. Inisiatif ini merupakan hasil cetusan idea DYAM Tunku sejak tahun 2020, dengan matlamat mewujudkan satu pusat belia moden di setiap daerah.

TMIYC ini semua bukan sekadar pusat aktiviti belia. Ia adalah nadi pembangunan insan dengan pelbagai kemudahan moden seperti padang sukan, gelanggang ekstrem, hab e-sukan, pentas terbuka, serta ruang niaga belia. Ia menjadi tempat anak muda Johor dalam mencungkil bakat, memupuk disiplin, dan mengembangkan potensi secara menyeluruh.

TMIYC Pasir Gudang tampil dengan pelbagai fasiliti moden antaranya ialah pentas terbuka (Amphitheatre), gelanggang paddle, wall climbing, Dewan Utama, padang memanah, taman permainan kanak-kanak, kawasan trak makanan (food truck), tapak caravan, serta litar Go-Kart dan Moto CUB-PRIX.

Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah proaktif menubuhkan TMIYC Activation Taskforce, yang menyelaras pelaksanaan dan pengurusan semua pusat ini secara sistematik. Fokus tertumpu kepada empat aspek utama: pengisian komuniti, pengurusan fasiliti, strategi komunikasi, dan tadbir urus kewangan. Ini memastikan setiap TMIYC tidak hanya gah dari segi binaan, tetapi hidup dengan aktiviti yang berimpak tinggi.

Kerajaan Negeri akan terus komited dalam usaha membangunkan anak muda Johor secara holistik demi melahirkan generasi yang berwibawa, progresif dan berdaya saing. Semoga inisiatif ini menjadi pencetus semangat untuk membina Johor yang lebih gemilang, bersatu dan maju. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor