Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15
Syukur Alhamdulillah. Semasa hari ketiga Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15, saya telah menjawab beberapa soalan daripada Ahli-Ahli Dewan, khususnya berkaitan manfaat pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) kepada seluruh rakyat Johor termasuk daerah-daerah di luar kawasan zon tersebut.
Pembangunan JS-SEZ bukan sekadar membawa masuk pelabur asing, tetapi menjadi pemacu utama penciptaan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Johor. Apabila syarikat gergasi dunia memilih Johor sebagai hab pelaburan, ia membuka ribuan peluang pekerjaan dalam bidang teknologi, pembuatan dan logistik. Ini memberi ruang kepada anak-anak muda dari luar kawasan JS-SEZ untuk mendapatkan kerja yang baik tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.
Dalam masa yang sama, pelaburan besar ini mendorong Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan infrastruktur secara menyeluruh seperti:
1. Pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan daripada empat lorong kepada enam lorong;
2. Pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru (SDE);
3. Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka siap menjelang tahun 2026;
4. Projek Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART);
5. Naik taraf sistem dan fasiliti di Kompleks CIQ BSI dan KSAB;
6. Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru (ETS);
7. Naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai;
8. Pembinaan Hospital Pasir Gudang dan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2);
9. Pelaksanaan inisiatif Smart City oleh PBT; dan banyak lagi.
Ini bukan sahaja mempercepat pembangunan kawasan JS-SEZ, tetapi turut membawa kesan limpahan ekonomi ke kawasan-kawasan luar zon. Lebih penting lagi, JS-SEZ membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan. Kerjasama erat Johor–Singapura bakal memperkukuh institusi pendidikan dan latihan, melahirkan tenaga kerja Johor yang berkemahiran tinggi, kompetitif dan bersedia untuk ekonomi masa hadapan.
Namun, Kota Rom tidak dibina dalam sehari. Shenzhen, yang kini menjadi kuasa ekonomi dunia, juga bermula sebagai sebuah perkampungan nelayan, dan mengambil masa lebih 40 tahun untuk menjadi seperti hari ini. Dengan semangat sebagai satu pasukan, iltizam yang teguh dan perancangan yang tuntas, saya yakin kita mampu mencorakkan masa depan negeri yang lebih makmur dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




