Melawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru

Syukur Alhamdulillah. Saya berkesempatan melawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi melihat sendiri keadaan semasa hospital serta mendengar taklimat mengenai pelbagai usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan demi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada Bangsa Johor terus berjalan dengan baik.

Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah proses decanting Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) ke Pusat Bersalin dan Labor & Delivery (L&D) bermula awal Ogos ini bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf sistem elektrik dijalankan dengan selamat. Pada masa yang sama, projek menaik taraf bekalan utama elektrik, sistem elektrikal dan mekanikal hospital bernilai hampir RM159 juta serta beberapa penambahbaikan lain turut giat dilaksanakan demi memastikan HSA terus memberikan perkhidmatan yang lebih selamat dan berkualiti kepada Bangsa Johor.

Namun, ada satu perkara yang benar-benar merisaukan saya, iaitu kekurangan petugas kesihatan di HSA. Saya bimbang beban yang mereka pikul hari ini sudah terlalu berat, sedangkan HSA merupakan antara hospital rujukan utama yang menerima ribuan pesakit dari seluruh Johor setiap hari. Justeru, saya dengan penuh rendah hati memohon pertimbangan dan perhatian segera daripada Kementerian Kesihatan Malaysia agar isu kekurangan petugas di Hospital Sultanah Aminah diberikan keutamaan. 

Buat seluruh petugas barisan hadapan kesihatan, terima kasih tidak terhingga kerana terus bertahan demi rakyat. Walau penat, walau letih, mereka tetap memilih untuk hadir dan terus berkhidmat. Saya sedar dan insaf tugas ini sememangnya bukan mudah. Percayalah, kami tidak akan berhenti memperjuangkan segala yang diperlukan agar saudara dan saudari tidak terus memikul beban ini bersendirian.

Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT mempermudahkan setiap urusan, melindungi seluruh petugas kesihatan, mengurniakan kesembuhan kepada para pesakit serta memimpin kita kepada jalan penyelesaian yang terbaik. 

Semoga dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor

Skip to content