Peluasan Konsep Klinik Decanting Klinik Kesihatan Kulai
Bermula 3 Ogos ini, akses kesihatan Bangsa Johor akan terus diperkukuh menerusi peluasan konsep Klinik Decanting apabila Unit Ibu dan Anak (KKIA) Klinik Kesihatan Kulai mula beroperasi di Lotus Kulai bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, selesa dan berkualiti kepada rakyat.
Syukur Alhamdulillah, saya telah meninjau sendiri perkembangan projek bernilai RM1.19 juta ini, yang kini telah mencapai kemajuan sebanyak 78 peratus dan berada di landasan yang baik untuk mula beroperasi mengikut jadual.
Pemindahan operasi ini bukan sekadar melibatkan pertukaran lokasi, tetapi merupakan langkah penting bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kapasiti perkhidmatan Klinik Kesihatan Kulai. Untuk makluman, ketika ini, klinik berkenaan memberi perkhidmatan kepada lebih 92,000 penduduk dengan purata 852 pesakit setiap hari, termasuk sekitar 281 pesakit bagi perkhidmatan Unit Ibu dan Anak. Jumlah ini jelas memberi tekanan kepada kapasiti sedia ada serta menjejaskan keselesaan pesakit dan petugas kesihatan.
Dengan kemudahan baharu ini, ibu, bayi dan kanak-kanak akan menikmati persekitaran rawatan yang lebih selesa, selamat dan kondusif. Pada masa yang sama, saya yakin ia turut memudahkan urusan para petugas kesihatan untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, teratur dan berkualiti kepada Bangsa Johor.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai, pihak pengurusan Lotus Kulai serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan projek ini.
Saya juga berharap KKM dapat terus memberikan perhatian terhadap keperluan penjawatan petugas kesihatan di Johor. Tanpa tenaga kerja yang mencukupi, sebaik mana sekalipun fasiliti yang disediakan, rakyat tetap akan berdepan cabaran untuk mendapatkan perkhidmatan yang baik dan lancar.
Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan, mengurniakan kekuatan kepada seluruh petugas kesihatan serta memberkati setiap usaha yang dilaksanakan demi memastikan Bangsa Johor terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




