Memperkukuh Kawalan Harga dan Bekalan Barangan Asas Demi Kesejahteraan Rakyat Johor
Syukur Alhamdulillah, saya telah mengadakan perbincangan bersama Pengarah KPDN Johor, Puan Lilis Saslinda Pornomo, serta pegawai-pegawai KPDN Johor untuk membincangkan isu-isu kritikal berkaitan kawalan harga dan bekalan barangan asas yang mempunyai impak besar kepada rakyat Johor.
Tiga isu utama yang dibincangkan adalah:
1. Penjualan barangan kawalan tanpa lesen – Pihak KPDN Johor akan memperketatkan penguatkuasaan ke atas warga asing atau peniaga tanpa lesen sah yang menjual barangan seperti minyak paket, tepung dan gula. Langkah ini penting untuk memastikan bahawa yang menerima manfaat adalah rakyat Malaysia dan bukannya warga asing.
2. Pemantauan harga semasa musim perayaan – Melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), Kerajaan Negeri bersama KPDN Johor memastikan harga barangan asas seperti minyak masak dan tepung kekal terkawal agar tidak membebankan rakyat.
3. Penjualan RON 95 kepada kenderaan luar negara – Kerajaan Negeri memandang serius isu ini kerana ia memberi kesan kepada bekalan untuk rakyat Johor. Penguatkuasaan akan dipertingkatkan melalui pemantauan berkala dan tindakan tegas kepada pihak yang melanggar peraturan.
Kerajaan Negeri Johor serius dalam memastikan hak dan kebajikan Bangsa Johor sentiasa dijaga. Ianya merupakan asas kepada visi dan misi Maju Johor 2030. Dengan komitmen dan kerjasama yang baik antara semua pihak, saya yakin kita dapat menangani isu-isu ini dengan lebih berkesan dan memastikan segala perancangan serta tindakan yang diambil dapat dilaksanakan dengan lebih efektif, bagi memastikan kesejahteraan rakyat Johor sentiasa terjaga. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor