Memperkukuh Kerjasama Kesihatan Johor – Singapura Melalui Zon Ekonomi Khas (JS-SEZ)

Saya berbesar hati menerima kunjungan Menteri Kesihatan Singapura, Mr. Ong Ye Kung, di Kota Iskandar.

Pertemuan ini memberi peluang untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam sektor kesihatan antara Johor dan Singapura, terutamanya melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang telah dimeterai pada 7 Januari 2025.

Banyak perkara yang telah dibincangkan, antaranya adalah potensi kerjasama dalam pertukaran kepakaran, penyelidikan bersama, dan pelancongan perubatan merentas sempadan. Kami juga berbincang mengenai bagaimana JS-SEZ dapat mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan meningkatkan keberkesanan sistem kesihatan di kedua-dua negara.

Kerjasama ini juga memberi fokus kepada pembangunan perkhidmatan kesihatan khusus dan penubuhan pusat kecemerlangan yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang pelancongan perubatan.

Kerajaan Negeri yakin bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan merancakkan ekonomi melalui pelancongan perubatan yang lebih terintegrasi dan memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat Johor dan Singapura, malah ia juga bakal membuka ruang untuk lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan dalam industri kesihatan.

Semoga hubungan erat antara Johor dan Singapura terus diperkukuh untuk memberi limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor