Menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11, yang berlangsung dari 6 hingga 7 Januari di Kuala Lumpur.
Saya amat berbesar hati dapat menyaksikan pemeteraian Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang telah ditandatangani Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Singapura.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, TYT Lawrence Wong. Perjanjian ini adalah hasil daripada perbincangan yang mendalam dan persediaan yang teliti antara kerajaan kedua-dua negara, yang pastinya akan membawa limpahan manfaat yang besar, terutamanya kepada negeri Johor dan rakyatnya.
Terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan perjanjian ini, terutamanya Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, MITI, MOT, KDN, MOFA, AGC, KPT, IRDA, BPEN, Invest Johor dan semua yang terlibat. Tidak lupa juga jutaan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Singapura.
JS-SEZ ini akan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan meningkatkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura. Ini adalah satu langkah strategik yang akan memberi impak positif kepada pembangunan negeri Johor, dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, peningkatan pelaburan, serta pengukuhan sektor-sektor utama di Johor.
Semoga segala perancangan dan usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, dan seterusnya memberi limpahan manfaat kepada rakyat Johor serta Malaysia secara keseluruhan. Insya-Allah, kita akan menyaksikan transformasi positif untuk Johor.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor