Meninjau Perkembangan Projek Pembinaan Pejabat Operasi Jtdc
Johor Talent Development Council (JTDC) merupakan inisiatif penting di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi, selari dengan keperluan pelabur dan industri yang semakin berkembang di negeri ini. Sasaran utama JTDC adalah untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan sudah dilaksanakan secara berfasa bermula tahun ini.
Syukur Alhamdulillah, perkara ini dibincangkan secara terperinci semasa sesi turun padang meninjau perkembangan projek pembinaan pejabat operasi JTDC di Medini Iskandar. Dalam lawatan ini, saya turut diberi taklimat terperinci berkenaan halatuju serta gerak kerja strategik JTDC dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang bersedia memenuhi permintaan industri masa hadapan.
Antara strategi utama JTDC adalah menjalin kerjasama langsung antara pelabur, syarikat, enam universiti serta 15 pusat TVET terpilih di Johor. Sasaran sebanyak 10,000 graduan akademik dan TVET setiap tahun akan digerakkan melalui platform seperti Pejabat JTDC dan Karnival Kerjaya Premium.
JTDC juga sedang melaksanakan transformasi menyeluruh melibatkan 7 institusi pendidikan dan latihan di bawah Kerajaan Negeri Johor. Usaha ini menyasarkan 3,000 graduan berkualiti setiap tahun melalui penaiktarafan silibus, fasiliti dan tenaga pengajar.
Bagi membantu anak muda yang memerlukan sokongan lebih langsung, JTDC turut memperkenalkan pendekatan “direct intervention” menerusi Dana Latihan & Penempatan Kerja. Inisiatif ini menyasarkan 5,000 pelatih pada tahun 2025melalui geran latihan, subsidi, karnival kerjaya serta galakan penggunaan portal kerjaya JTDC.
Semoga segala inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada Orang Muda Johor yang ingin membina kerjaya berkualiti. JTDC akan terus menjadi pemacu utama dalam menjadikan Johor sebuah negeri yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, dinamik dan bersedia menyambut gelombang pelaburan masa hadapan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




