Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 Sebagai Pembangunan Ekonomi Halal Yang Menyeluruh

Syukur Alhamdulillah, Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 sedang diperlahusi dan akan dilancarkan tahun ini. Ia merupakan satu pelan penting yang akan meletakkan Johor sebagai negeri pertama yang mempunyai kerangka pembangunan ekonomi halal yang menyeluruh.

Pelan ini digubal bagi memperkasa ekosistem halal negeri Johor secara menyeluruh, daripada mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menghasilkan produk halal bertaraf global, hingga membina rangkaian keusahawanan tempatan yang kompetitif.

Dengan semakin banyak pelabur hadir ke Johor menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelan ini bakal menjadi pemangkin penting dalam menarik syarikat halal antarabangsa dan tempatan untuk beroperasi, berkembang dan berinovasi di Johor.

Antara inisiatif utama ialah sasaran untuk mendaftarkan 500 syarikat halal setiap tahun, mempercepatkan proses pensijilan, dan menawarkan insentif menyeluruh kepada syarikat serta usahawan tempatan agar mereka mampu menembusi pasaran yang lebih luas.

Kerajaan Negeri bersama PIJ Holdings, PIJ Halal Ventures, MAINJ dan JAINJ akan terus memperkukuh kerjasama bagi menyokong syarikat-syarikat yang telah berjaya agar dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi melalui sokongan pelaburan dan pengembangan pasaran.

Insya-Allah, melalui pelaksanaan berfasa dan pemantauan yang teliti, Pelan Kemajuan Halal Johor 2030 akan memberi impak langsung kepada Johor dengan memperkukuh kedudukan sebagai hab ekonomi halal, seterusnya menjadikan negeri ini sebagai contoh pembangunan ekonomi Islamik yang progresif di Malaysia.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor