Menyantuni Keluarga Besar Di Simpang Renggam

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan balik ke kawasan bagi menyantuni keluarga besar saya di Simpang Renggam, sambil meninjau perkembangan semasa dan memastikan setiap usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Semasa di kawasan, saya meluangkan masa bersama ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Simpang Renggam. Seronok dapat bertemu ibu-ibu dan ayah-ayah yang terus aktif, ceria dan bersemangat. Pengalaman serta sumbangan mereka amat bermakna dan kebajikan warga emas akan terus diberikan perhatian.

Saya turut bersama warga Penjara Simpang Renggam bagi menghargai komitmen dan kerja keras mereka dalam menjalankan amanah. Terima kasih atas segala khidmat dan pengorbanan yang diberikan. Kita adalah satu pasukan yang perlu terus memperkukuh kerjasama demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Saya juga meninjau Jeram Asli, Ulu Benut, yang berpotensi sebagai salah satu produk pelancongan semula jadi di Simpang Renggam. Saya gembira dengan pembangunan di sini dan akan terus diperkasa, sekaligus menarik lebih ramai pengunjung serta memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

Dalam kesempatan yang ada, saya menziarahi keluarga Allahyarham Encik Mohd Nizam, Ketua Cawangan Sri Lalang, serta bersama-sama mengadakan bacaan tahlil. Jasa dan sumbangan Allahyarham kepada perjuangan serta masyarakat Simpang Renggam akan sentiasa dihargai dan dikenang.

Saya turut menyantuni masyarakat India di Kampung Melayu dan Taman Makmur serta menyampaikan sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan. Bagi saya, seluruh masyarakat Simpang Renggam adalah satu keluarga besar yang perlu terus kita jaga dan santuni tanpa mengira latar belakang.

Semoga hubungan erat keluarga besar Simpang Renggam ini terus terpelihara dan diperkukuh, menjadi asas kepada perpaduan, keharmonian serta semangat saling menjaga antara satu sama lain dalam kita bersama-sama membangunkan Simpang Renggam dan Johor yang lebih maju, sejahtera dan inklusif. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #OHMachap #SimpangRenggam

Skip to content