Program Semarak Subuh Johor Di Masjid An-Nur, Taman Stulang Laut

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang bersama para jemaah di Masjid An-Nur, Taman Stulang Laut, Johor Bahru untuk menunaikan Solat Subuh berjemaah menerusi Program Semarak Subuh Johor. Pertemuan seperti ini menjadi ruang untuk kita mengeratkan ukhuwah, saling mengingatkan dalam kebaikan serta bersama-sama mengimarahkan rumah Allah.

Selesai Solat Subuh, para jemaah telah mengikuti Tazkirah Subuh bertajuk “Kekuatan Sabar dalam Ujian” yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Zaini bin Mohd Salleh, Kadi Daerah Johor Bahru. Tazkirah ini mengingatkan kita agar sentiasa bersabar, bersyukur atas setiap nikmat serta meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian kehidupan.

Sabar bukan bererti menyerah kepada keadaan, sebaliknya terus berusaha, berdoa dan yakin dengan ketentuan Allah SWT. Setiap ujian menjadi ruang untuk kita memperkukuh kesabaran, memperbanyakkan syukur dan mendekatkan diri kepada-Nya. Kesabaran yang disertai keimanan dan ketaatan menjadi jalan menuju keredaan Allah SWT serta bekalan untuk meraih Al-Jannah, syurga yang dijanjikan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 155: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap ujian yang dihadapi dengan penuh kesabaran dan keimanan mempunyai ganjaran di sisi Allah SWT.

Semoga kita terus dikurniakan kekuatan untuk bersabar ketika diuji, sentiasa bersyukur atas segala nikmat serta istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam rahmat, petunjuk dan keberkatan-Nya. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #RapatkanSaf 

Skip to content