Mesyuarat JKKAS Bincang Langkah Tangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai

Assalamualaikum & Salam Maju Johor

Selesai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2025 (JKKAS Bil.1/2025) yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri 2, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof.

Untuk makluman semua, mesyuarat ini telah membincangkan 5 kertas – 4 adalah kertas pertimbangan dan 1 kertas makluman.

JKKAS telah bersetuju untuk menyokong dua cadangan iaitu Kerajaan Negeri menetapkan pelaksanaan aktiviti menyahenap (desludging) cemar tangki septik individu secara berkala untuk mengurangkan beban pencemaran sungai, khususnya bagi premis kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri.

Selain itu, cadangan penangguhan caj air kembalian (return water) bulanan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah peraturan Dasar Pelepasan Sifar (DPS) terhadap Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sehingga perancangan projek air pulih guna dilaksanakan sepenuhnya.

JKKAS juga telah bersetuju untuk menggunakan pendekatan Pengurusan Sumber Air Secara Bersepadu (IWRM) selari dengan Pelan Tindakan Air 2040 dengan memperkasa agensi sedia ada untuk bahan pencemar.

JKKAS turut bersetuju menggalakkan kaedah inovatif untuk menangani masalah pencemaran sungai melalui hasil R&D tempatan melalui NAHRIM Environmental Dredging System (NEDS).

NEDS direka untuk membuang endapan tercemar tanpa mengganggu ekosistem akuatik secara signifikan, berbeza dengan kaedah pendalaman konvensional yang boleh menyebabkan pencemaran sekunder.

Saya yakin, peranan dan kerjasama kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri dalam mengawal serts menangani kemerosotan kualiti air sungai di Malaysia dapat dijayakan. InsyaAllah