Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15

Syukur Alhamdulillah, semasa Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15, saya telah menjawab soalan berhubung isu kos sara hidup yang semakin menekan rakyat dan mengumumkan 42 inisiatif baharu dengan peruntukan berjumlah RM209 juta.

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang mengilhamkan Inisiatif Infaq Jumaat Johor. Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan kasih sayang dan kepedulian DYAM Tuanku, bahkan menjadi sumber inspirasi kepada Kerajaan Negeri untuk terus mengutamakan kebajikan Bangsa Johor.

Menerusi inisiatif yang diumumkan, ia meliputi pelbagai segmen masyarakat termasuklah bantuan tunai one-off kepada anak muda yang memerlukan peluang pendidikan dan latihan, warga emas dan pesakit kronik yang memerlukan sokongan kesihatan, hinggalah kepada ibu bapa, keluarga, usahawan kecil, penjaja, serta petugas barisan hadapan yang sentiasa berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.

Semua ini dapat direalisasikan kerana hasil negeri Johor terus meningkat saban tahun berkat sokongan rakyat, usaha pelaburan, serta pengurusan ekonomi yang teratur. Justeru, setiap ringgit yang dijana digunakan untuk meringankan beban kos sara hidup, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperkukuh jaringan keselamatan sosial, serta memastikan tidak ada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan.

Insya-Allah, banyak lagi inisiatif baik akan terus dilaksanakan. Semoga segala ikhtiar ini terus diberkati Allah SWT dan menjadi sinar harapan yang menyinari kehidupan seluruh rakyat Johor.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor