Program Jelajah Orang Johor (JOJ) Simpang Renggam
Syukur Alhamdulillah, Program Jelajah Orang Johor (JOJ) diteruskan ke Simpang Renggam dengan penuh meriah. Kehadiran barisan artis daripada Pasukan Bola Sepak Malaysian Influencer Organization (MIO) turut menambahkan kemeriahan dan semangat dalam siri jelajah kali ini.
JOJ dimulakan dengan Semarak Subuh di Surau Kampung Melayu Simpang Renggam, disusuli sesi walkabout dan konvoi bermotor. Saya juga berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf sebelum bersama rakyat dalam Sukan Rakyat Johor di Padang Ladang Nenas. Walaupun hujan, semangat dan sambutan keluarga besar saya di Simpang Renggam tetap hangat.
Saya turut meninjau pembinaan Masjid Al-Huda, Simpang Renggam dan mengumumkan peruntukan tambahan RM400,000 agar projek ini dapat disiapkan segera demi keselesaan jemaah. Di Kampung Ibrahim Majid, berlangsung Program Santuni Rakyat yang dipenuhi pameran, pertandingan kemerdekaan, dan penyampaian set sumbangan Jualan Rahmah.
Jelajah diteruskan ke Kampung Melayu Bukit Nyamuk, di mana saya menerima taklimat mengenai projek naik taraf jalan baharu ke Puteri Menangis yang dijangka siap pada November 2027. Jalan dua lorong ini bakal memendekkan masa perjalanan daripada 40 minit kepada hanya 10 minit, satu manfaat besar buat penduduk setempat.
Sebelah petang, JOJ diteruskan dengan Karnival Sambutan Hari Wanita Peringkat Parlimen Simpang Renggam di Kem Batalion 5 PGA, serta Mini Expo KEMAS Daerah Kluang di Mini Stadium Majlis Daerah Simpang Renggam yang memperlihatkan kerjasama erat pelbagai agensi dan sokongan padu rakyat.
Terima kasih keluarga besar saya di Simpang Renggam. Saya amat gembira kerana JOJ @ DUN Machap & DUN Layang-Layang memberi ruang untuk saya turun padang, bertemu dan mendengar suara rakyat secara langsung. Semoga ukhuwah ini terus subur, menjadi landasan untuk kita bersama-sama memajukan Johor demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




