Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat

Syukur Alhamdulillah, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat bagi meneliti dan menambah baik proses penyerahan bantuan kepada penerima, khususnya bagi kategori yang melibatkan jumlah penerima yang besar seperti warga emas dan suri rumah.

Kerajaan Negeri mengambil maklum setiap pandangan dan maklum balas yang diberikan. Sehubungan itu, beberapa langkah penambahbaikan akan dilaksanakan segera bagi memastikan bantuan ini dapat disampaikan dengan lebih teratur, mudah dan selesa kepada penerima. Antaranya termasuklah:

1. Tempoh penyerahan BKJ dilanjutkan sehingga 28 Jun 2026 bagi memberi lebih ruang dan masa kepada penerima;

2. Jumlah kaunter juga akan ditambah mengikut nisbah penerima di setiap lokasi. Bagi lokasi yang melibatkan lebih 3,000 penerima, sekurang-sukarangnya 35 kaunter semakan dan 35 kaunter bayaran akan disediakan. Manakala bagi lokasi yang melibatkan 2,000 penerima ke bawah, sekurang-kurangnya 10 kaunter semakan dan 10 kaunter bayaran akan disediakan. Kaunter aduan/pertanyaan juga akan disediakan;

3. Tempoh operasi turut akan dilanjutkan sehingga 12 jam, khususnya bagi daerah Johor Bahru, bagi mengurangkan kesesakan serta memberi lebih keselesaan kepada penerima, terutamanya warga emas;

4. Ruang menunggu juga akan disediakan di lokasi yang mempunyai jumlah penerima tinggi supaya penerima dapat menunggu dengan lebih selesa sebelum proses semakan dibuat;

5. Bagi memudahkan proses semakan dan bayaran, penerima hanya perlu membawa kad pengenalan untuk tujuan semakan sebelum bayaran dibuat;

6. Wakil waris terdekat dibenarkan untuk mengambil bantuan bagi pihak penerima yang tidak berupaya hadir. Sekiranya tiada waris, pihak Kerajaan Negeri akan turun ke rumah penerima yang layak untuk menyerahkan bantuan tersebut;

7. Southern Volunteers akan digerakkan bagi membantu warga emas atau OKU yang hadir;

8. Permohonan rayuan akan dibuka bermula 1 Julai 2026 bagi memberi peluang kepada mereka yang layak tetapi belum tersenarai untuk membuat semakan dan permohonan semula.

Saya sedar dan insaf bahawa setiap bantuan yang disampaikan membawa harapan kepada penerima, khususnya mereka yang benar-benar memerlukan. Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperbaiki dan menambah baik proses pelaksanaan dari semasa ke semasa. Semoga usaha penambahbaikan ini dapat melancarkan lagi proses penyerahan BKJ agar manfaatnya benar-benar sampai kepada Bangsa Johor.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor