Hari Raya Aidiladha 1447H/2026M

Menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kurniaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha 1447H/2026M melibatkan sebanyak 148 ekor lembu untuk diagihkan kepada rakyat Johor. 

Sesungguhnya kurniaan penuh bermakna ini mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan Institusi DiRaja Johor yang sentiasa dekat di hati Bangsa Johor. Patik dan seluruh rakyat jelata merafak sembah setinggi-tinggi kasih serta mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku sekeluarga sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan berada dalam rahmat serta lindungan Allah SWT.

Syukur Alhamdulillah, sempena Aidiladha tahun ini saya dan isteri berkesempatan turun padang di Simpang Renggam, bermula dengan Ziarah Kasih Keluarga Angkat di Kampung Batu 7 sebelum bersama-sama masyarakat setempat menjayakan Program Korban Perdana Simpang Renggam. Sebanyak 32 ekor lembu korban telah diagihkan di seluruh Simpang Renggam melibatkan masjid, surau, kampung dan pelbagai pihak.

Melihat sendiri semangat kebersamaan warga Simpang Renggam dalam menjayakan ibadah korban hari ini memberi makna yang cukup besar buat saya. Selamat Hari Raya Aidiladha saya ucapkan khususnya kepada seluruh warga Simpang Renggam dan Bangsa Johor secara keseluruhannya. Sesungguhnya ibadah korban bukan sekadar simbol pengorbanan, tetapi juga lambang kasih sayang, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan. 

Semoga ibadah korban yang dilaksanakan diterima Allah SWT serta terus memperkukuh semangat kebersamaan, keikhlasan dan kasih sayang sesama Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #OHMachap #SimpangRenggam #Aidiladha1447H