Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Di Daerah Batu Pahat
Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM16.4 juta bagi melaksanakan 95 projek pembangunan menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) di Daerah Batu Pahat, satu komitmen berterusan untuk memastikan setiap isu rakyat ditangani dengan tindakan yang terbaik dan berkesan.
Peruntukan ini memberi tumpuan kepada isu seperti pembaikan jalan, naik taraf dan penyelenggaraan sistem saliran, pemasangan lampu jalan serta penambahbaikan kemudahan komuniti dan rekreasi. Semua ini dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, PBT serta agensi pelaksana supaya setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat diselaras dan diselesaikan dengan lebih cepat, tersusun dan berkesan.
Dalam MTD yang melibatkan sembilan DUN iaitu Rengit, Semarang, Semerah, Yong Peng, Sri Medan, Parit Raja, Parit Yaani, Senggarang dan Penggaram, sebanyak 449 isu dan perkara berbangkit telah dibincangkan. Daripada jumlah tersebut, 118 isu telah diselesaikan, 51 isu sedang dalam pelaksanaan, manakala 202 isu merupakan permohonan baharu. Selebihnya kini dalam penelitian agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.
Dalam kesempatan yang ada, saya turut hadir ke Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) Daerah Batu Pahat yang berlangsung di Masjid An-Nur, Kampung Bahru Senggarang sebagai usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk menyalurkan bantuan kebajikan secara menyeluruh dan berkesan kepada golongan yang memerlukan.
Menerusi majlis ini, sejumlah RM320,500 telah disalurkan kepada 1,125 penerima di daerah Batu Pahat melibatkan beberapa golongan bersasar seperti asnaf, ibu tunggal, golongan miskin dan banyak lagi sebagai usaha membantu meringankan beban dan memastikan lebih ramai rakyat yang memerlukan dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Semoga setiap perancangan dan usaha yang dilaksanakan ini terus memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan, serta memperkukuh kebersamaan antara kerajaan dan rakyat dalam membina masa depan Johor yang lebih maju dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




