Penghargaan Kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Atas Komitmen Dan Sokongan Menyeluruh Kepada Johor
Syukur Alhamdulillah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas komitmen dan sokongan menyeluruh kepada Johor melalui peruntukan pembangunan bakat berjumlah RM116.22 juta, termasuk pembiayaan latihan dan kemahiran, bagi memperkukuh kebolehpasaran tenaga kerja serta ekosistem pekerjaan negeri.
Terima kasih saya ucapkan kepada YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia dan YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang sudi berbincang dan menyelaras agenda pembangunan bakat Johor.
Pertemuan ini selari dengan lonjakan pelaburan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) serta penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC) sebagai platform penyelarasan keperluan bakat negeri. Fokus utama adalah memastikan Johor mempunyai bekalan tenaga kerja yang mencukupi, berkemahiran dan relevan.
Antara peruntukkan yang dibincangkan adalah seperti berikut:
1. Dana Khas HRD Corp berjumlah RM20 juta khusus bagi menyokong pelaksanaan JTDC;
2. RM13.02 juta levi HRD Corp bagi latihan teknikal;
3. RM18.8 juta Skim Latihan Industri bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan;
4. RM1.4 juta melalui Talent Corp bagi pelaksanaan Program MyMahir;
5. RM2 juta oleh PERKESO untuk penganjuran pameran kerjaya serta pengukuhan portal MyFutureJobs; dan
6. RM61 juta pembiayaan pinjaman oleh PTPK kepada lebih 2,300 pelajar TVET di Johor, sejajar dengan usaha memperluas akses latihan kemahiran secara inklusif dan bersasar, khususnya dalam bidang berimpak tinggi seperti AI, EV dan semikonduktor yang menyokong ekosistem JS-SEZ.
Semoga kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat Johor yang bukan sekadar menarik pelaburan, tetapi membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang stabil, berpendapatan tinggi dan memberi jaminan masa depan yang lebih terjamin untuk Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




