Perbincangan Langkah Pengukuhan Pengurusan, Penambahbaikan Infrastruktur Dan Fasiliti Hospital-hospital Utama Di Negeri Johor

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan serta kesejahteraan Bangsa Johor, khususnya dalam aspek kesihatan awam.

Syukur Alhamdulillah. Terima kasih YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia yang sudi menerima saya dan delegasi Johor bagi membincangkan langkah pengukuhan pengurusan, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti hospital-hospital utama di Negeri Johor.

Pertemuan ini memberi fokus kepada usaha memperkukuh pengoperasian tiga hospital utama negeri iaitu

Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai. Bagi penyelesaian jangka pendek, semua pihak bersetuju keperluan segera untuk mengisi kekosongan jawatan kritikal, menaik taraf infrastruktur serta memperbaiki fasiliti di hospital-hospital sedia ada.

Hasil perbincangan turut mencapai persetujuan agar Hospital Pasir Gudang (HPG) dan Klinik Kesihatan (KK)

Cendana perlu diperkukuh dan ditambahkan tenaga kerja serta peralatan sebelum ia dijangka mula beroperasi pada awal tahun hadapan.

Bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar, sebuah Taskforce Khas akan ditubuhkan sebagai mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Kerajaan Negeri dan KKM sentiasa komited memperjuangkan hak rakyat untuk mendapatkan rawatan yang adil, cekap dan berkualiti serta menjaga kebajikan barisan hadapan yang menjadi tunjang sistem kesihatan kita. Semoga segala usaha ini diberkati dan membuahkan hasil demi kebaikan negeri dan seluruh rakyat Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor