Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Food Empire dan Santan

Syukur Alhamdulillah. Terima kasih diucapkan kepada YBhg. Tan Sri Nazir Razak, Pengerusi Ikhlas Capital atas jemputan ke Ikhlas Capital Annual Conference 2025 yang berlangsung di Fraser Place, Puteri Harbour.

Persidangan ini menghimpunkan para pelabur dan pemimpin industri bagi membincangkan masa depan serta halatuju ekonomi serantau yang lebih mampan dan berdaya saing.

Saya turut berpeluang menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Food Empire dan Santan, jenama F&B milik AirAsia, satu kerjasama menarik dalam meneroka penghasilan produk makanan dan minuman segera berjenama bersama untuk pasaran penerbangan dan runcit.

Selain itu, saya juga diberi peluang menyertai sesi Fireside Chat bertemakan “JS-SEZ: A Model for Win-Win Economic Integration” bersama Tan Sri Azman Mokhtar dan Dr. Beh Swan Gin. Sesi ini meneliti potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai model kerjasama rentas sempadan yang seimbang, progresif dan berimpak tinggi dengan penglibatan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Singapura serta sektor swasta.

Kerajaan Negeri komited memperkukuh hubungan ekonomi serantau melalui JS-SEZ yang mampu menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi, dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan. Persidangan seperti ini amat penting dalam memperkukuh keyakinan pelabur serta membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Ikhlas Capital atas penganjuran dan memposisikan Johor sebagai rakan strategik utama dalam landskap pelaburan ASEAN. Semoga Johor akan terus melangkah ke hadapan sebagai kuasa ekonomi baharu rantau ini menjelang 2030. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor