Pertemuan Bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)

Syukur Alhamdulillah, saya telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man bagi membincangkan usaha untuk terus memperkukukkan kerjasama dengan KEMAS di negeri ini.

Menerusi pertemuan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada lebih 1,200 pendidik masyarakat di Johor yang memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda dan memperkasa komuniti melalui pelbagai program latihan dan pembangunan kemahiran.
Insya-Allah, kerjasama akan dilaksanakan agar TABIKA-TABIKA KEMAS boleh menjadi “feeder” dengan menyediakan anak-anak TABIKA untuk Sekolah Bangsa Johor.

Selain itu, kami turut membincangkan kepentingan tadika dan tabika berdaftar, yang merupakan elemen penting dalam menjamin kualiti pendidikan awal, keselamatan, dan kesejahteraan kanak-kanak. Pendaftaran dengan pihak berkuasa ini adalah penting bagi memastikan setiap institusi mematuhi piawaian yang ditetapkan, menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat serta tenaga pengajar yang bertauliah.

Perbincangan turut merangkumi usaha untuk mewujudkan tadika berkeperluan khas, yang disesuaikan dengan keperluan khas kanak-kanak seperti autisme dan sindrom down. Usaha ini bertujuan memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira keupayaan, mendapat pendidikan awal yang berkualiti, terapeutik, dan mampu menyokong perkembangan sosial, emosi, serta kognitif mereka.

Saya yakin dengan semangat kerjasama yang kukuh, kita pasti dapat memberikan akses pendidikan terbaik kepada anak anak kita. Semoga setiap usaha yang dijalankan membawa kebaikan yang berpanjangan kepada rakyat Johor sekaligus melahirkan anak-anak yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, tetapi juga luhur dalam akhlak dan pekerti. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor