Pertemuan Bersama Mr. Philip Yeo, Tokoh Ekonomi Terkemuka Singapura
Syukur Alhamdulillah, saya berbesar hati dapat bertemu dengan Mr. Philip Yeo, tokoh ekonomi terkemuka Singapura, bersama Dato’ Sri Idris Jala dan pasukan PEMANDU Associates, bagi berkongsi pandangan mengenai hala tuju transformasi ekonomi Johor.
Pertemuan ini sangat positif, dengan perbincangan tertumpu kepada strategi global dalam memposisikan Johor sebagai hab pelaburan berimpak tinggi. Antara fokus utama ialah pembangunan bakat tempatan, peningkatan latihan tenaga kerja, serta kerjasama erat dengan sektor swasta bagi memperkukuh daya saing Johor di peringkat antarabangsa.
Kami turut membincangkan kepentingan menarik pelabur global untuk memperkukuh ekosistem pelaburan negeri, terutamanya melalui pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang berpotensi menjadi “game changer” dalam landskap ekonomi serantau.
Dalam konteks geopolitik semasa, Johor berada pada kedudukan yang amat strategik. Dengan pendekatan “two-wings model”, Johor menyediakan keluasan tanah dan peluang pembangunan, manakala Singapura membawa modal serta kepakaran. Kedua-dua negara mampu mewujudkan kerjasama yang saling melengkapi, memberikan manfaat menang-menang kepada rakyat di kedua-dua belah sempadan.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mr. Philip Yeo atas kesudian berkongsi pandangan, pengalaman, dan nasihat beliau yang amat berharga. Semoga panduan ini menjadi inspirasi dan pendorong utama bagi Johor untuk terus melangkah maju, bersaing di pentas global, dan memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh seluruh rakyat. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




