Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor
Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas limpah perkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Masjid Jamek Bandar Kluang, Johor.
Syukur Alhamdulillah, saya bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri amat berbesar hati dapat mengiringi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ke majlis yang penuh makna ini. Sambutan ini mengajak kita menelusuri perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW dalam membentuk ummah yang sejahtera, berakhlak dan berilmu.
Antara pengisian yang menyerikan sambutan tahun ini yang bertemakan “Membangun Ummah Maju Johor” ialah perarakan sepanjang 370 meter menuju ke Masjid Jamek Bandar Kluang melibatkan 41 kontinjen statik dan perbarisan daripada pelbagai kategori termasuk sekolah/institusi pendidikan, jabatan kerajaan/badan berkanun, serta pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Kerajaan Negeri Johor akan terus komited memperkasa umat Islam melalui inisiatif pendidikan agama, pembangunan institusi masjid dan surau, sokongan terhadap golongan asnaf, serta memperkukuh peranan institusi keluarga dan belia Islam. Usaha ini penting bagi membina generasi Johor yang mantap dari segi rohani, intelektual dan sahsiah.
Marilah kita bersama memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan terus menghayati sunnah Baginda dalam kehidupan seharian. Semoga segala usaha ini diberkati Allah SWT dan menjadi asbab kebaikan serta kemajuan berterusan untuk umat Islam di Negeri Johor, Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




