Pertemuan Bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Dan Ranhill SAJ (RSAJ)

Selari dengan kemasukan pelaburan strategik yang semakin rancak terutamanya dikawasan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Kerajaan Negeri Johor ingin menegaskan bahawa keperluan asas rakyat seperti bekalan air dan elektrik kekal menjadi keutamaan dan tidak akan dikompromi. 

Setiap pelaburan berskala besar, termasuk pusat data dan industri berintensif tinggi, hanya dipertimbangkan selepas melalui penilaian teknikal yang ketat bagi memastikan ia tidak menjejaskan bekalan sedia ada yang dinikmati oleh rakyat.

Syukur Alhamdulillah, saya juga telah mengadakan pertemuan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ (RSAJ) bagi membincangkan perancangan masa pendek, sederhana dan panjang bekalan air dan elektrik negeri Johor. 

Untuk makluman, pihak TNB telah membentangkan bahawa bekalan elektrik di kawasan JS-SEZ berada pada tahap yang mencukupi dan terkawal. Sehingga Disember 2025, kapasiti terpasang bekalan elektrik di kawasan JS-SEZ adalah sebanyak 3,885 MVA, dengan permintaan semasa sekitar 1,272 MW, bersamaan kadar penggunaan kira-kira 72.76%, yang masih berada dalam margin operasi sihat.

Bagi memastikan kesiapsiagaan jangka panjang pula, TNB turut merancang pembangunan infrastruktur grid secara berfasa, melibatkan 4 Pencawang Masuk Utama (PMU) yang telah diluluskan dengan kapasiti 630 MVA, serta 9 PMU tambahan dalam perancangan berkapasiti 1,620 MVA. Pendekatan ini memastikan setiap pelaburan baharu di JS-SEZ disokong oleh kapasiti tambahan yang dirancang, tanpa menjejaskan bekalan elektrik sedia ada untuk rakyat Johor.

Bagi bekalan air pula, di kawasan JS-SEZ yang merangkumi tiga (3) daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian, melibatkan enam (6) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sehingga Januari 2026, RSAJ melaporkan jumlah peruntukan kapasiti bekalan air sebanyak 1,488 juta liter sehari (JLH) dengan pengeluaran semasa sekitar 1,261 JLH, sekali gus menyediakan kapasiti rizab kira-kira 227 JLH atau 15% bagi menampung keperluan semasa serta memastikan keselamatan dan kesinambungan bekalan air di kawasan JS-SEZ.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek ‘rezoning’ bernilai RM1.02 bilion bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air terawat, melibatkan kapasiti tambahan 260 JLH terutamanya di Iskandar Puteri dan Sedenak.

Selain itu, Johor turut merancang dan melaksanakan lima projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dengan kerjasama RSAJ, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Projek-projek ini akan dibangunkan secara berperingkat bagi memastikan kapasiti bekalan air Johor bukan sahaja mencukupi untuk keperluan semasa, tetapi juga bersedia untuk menyokong pertumbuhan negeri sehingga tahun 2035.

Secara keseluruhan, kesemua projek ini akan menyediakan lebih 1,100 JLH kapasiti baharu, memastikan bekalan air Johor kekal mencukupi, stabil dan selamat untuk rakyat, di samping menyokong pembangunan industri dan ekonomi negeri dalam jangka panjang tanpa menjejaskan bekalan awam.

Kerajaan Negeri komited memastikan bahawa setiap pelaburan yang masuk ke Johor dilaksanakan secara terancang, bertanggungjawab dan berpaksikan kepentingan rakyat. Bekalan air dan elektrik adalah hak asas Bangsa Johor, dan ia akan terus menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan pembangunan negeri. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorSelamat #JohorBersih #JSSEZ