Pertemuan Strategik Bersama MBS Global Holdings
Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang mengadakan pertemuan strategik bersama MBS Global Holdings, sebuah syarikat pelaburan berpangkalan di Dubai yang menguruskan aset bernilai lebih USD14 bilion di peringkat global.
Pertemuan ini membuka lembaran baru untuk Johor, apabila MBS Global Holdings menyatakan minat yang tinggi terhadap potensi negeri ini sebagai hab pelaburan strategik di rantau ini khususnya dalam bidang teknologi digital, kewangan dan hartanah.
MBS Global Holdings terlibat dalam pelbagai sektor utama seperti teknologi hijau, keterjaminan makanan, perbankan digital islamik, dan hartanah. Baru-baru ini, mereka telah melabur sebanyak USD8.8 bilion untuk membangunkan pusat kewangan berteraskan blockchain di Maldives, yang dijangka mewujudkan lebih 16,000 pekerjaan menjelang 2030.
Kehadiran Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) telah memperkukuh daya tarikan Johor sebagai destinasi pilihan pelabur global. Kerajaan Negeri komited menjadikan pelaburan sebagai pemacu pertumbuhan inklusif dimana ia bukan sekadar angka tetapi manfaat nyata buat rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, dan pembangunan ekonomi yang mampan.
Semoga kerjasama ini menjadi titik tolak kepada hubungan pelaburan jangka panjang yang seterusnya membawa limpahan manfaat kepada negeri dan seluruh Bangsa Johor yang lebih inklusif dan mampan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




