Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah Projek Taman Permata Layang

Syukur Alhamdulillah. Saya berpeluang menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) bagi projek Taman Permata Layang, sebuah projek perumahan yang sebelum ini terbengkalai selama lebih 10 tahun, dan akhirnya berjaya diselesaikan.

Projek ini melibatkan 47 unit rumah mampu milik, bermula serendah RM42,000 seunit. Pada majlis ini, saya berkesempatan menyampaikan SLMR kepada penerima yang sekian lama menanti untuk memiliki kediaman sendiri. Insya-Allah, ini menjadi titik mula kepada kehidupan baru yang lebih baik dan bermakna buat mereka.

Secara peribadi, projek ini sangat dekat di hati saya kerana ia berada dalam kawasan saya sendiri, di Simpang Renggam dan telah saya perjuangkan sejak mula menjadi wakil rakyat. Proses untuk menyelesaikannya bukan mudah, ia memerlukan pelbagai intervensi, turun padang, pengurusan terperinci dan kerjasama erat antara pelbagai agensi.

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Dato’ Jafni, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta seluruh pasukan dari Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Pejabat Daerah Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam dan semua pihak yang telah bekerja keras memastikan projek ini dapat disiapkan dengan baik.

Semoga usaha ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak penyelesaian bagi projek-projek terbengkalai di seluruh Johor. Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan setiap projek yang sakit dan terbengkalai diberikan perhatian yang sewajarnya, demi menjamin isu ini tidak berulang. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor