Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak Peringkat Daerah Johor Bahru di Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bharu

Alhamdulillah, saya telah hadir untuk Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Daerah Johor Bahru di Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru.

Pelbagai pengisian yang telah diadakan antaranya adalah persembahan kebudayaan dan pembukaan booth-booth di sekolah itu. Saya juga telah dibawa melawat ke bilik bimbingan dan kaunseling di mana saya diwawancara oleh seorang pelajar di sekolah tersebut.

Tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk memberi tumpuan khusus terhadap empat (4) hak kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup kanak-kanak tersebut, perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001, perkembangaan kanak-kanak dan penyertaan kanak-kanak dalam komuniti.

Untuk makluman, Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak Daerah Johor Bahru berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak. Di antara aktiviti yang dikendalikan oleh PPKK ialah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) yang dirancang dan dilaksanakan mengikut keperluan masyarakat setempat.

Dinyatakan di dalam Akta Kanak-kanak 2001;
Seksyen 27(1) – Jika seseorang pegawai perubatan atau pengamal perubatan berdaftar mempercayai atas alasan-alasan yang munasabah bahawa seseorang kanak-kanak yang sedang diperiksanya atau dirawatnya telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau didedahkan, atau terniaya dari segi seks, dia hendaklah dengan serta-merta memberitahu seorang Pelindung.

Seksyen 28(1) – Jika mana-mana anggota keluarga seseorang kanak-kanak mempercayai atas alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks, dia hendaklah dengan serta-merta memberitahu seorang Pelindung.

Seksyen 29(1) – Jika seseorang pengasuh kanak-kanak mempercayai atas alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks, dia hendaklah dengan serta-merta memberitahu seorang
Pelindung.

👉🏻 Akta Kanak-kanak Pindaan 2016:
Seksyen 29A – Jika manamana orang, selain orang yang disebut dalam seksyen 27, seksyan 28 dan seksyen 29, mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa seseorang kanak-kanak telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks, dia boleh memberikan maklumat itu kepada seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat.

Secara keseluruhannya, objektif program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman dan pendedahan kanak-kanak berkenaan situasi kanak-kanak yang memerlukan perlindungan serta tindakan yang boleh diambil ibu bapa, penjaga, kanak-kanak sendiri atau komuniti apabila terlibat dengan kes tersebut serta memberi peluang kepada Pasukan Pelindung Kanak-Kanak (PPKK) untuk lebih mengenali kanak-kanak di kawasan masing-masing. Sekiranya ada kes keganasan yang berlaku, boleh terus hubungi nombor Talian Kasih 15999.

Turut hadir YB Puan Marina.Ibrahim, ADUN Skudai; Tuan Pathmanathan A/L R. Nalasamy, Pengarah JKM Negeri Johor – JKMNJ; Puan Nor Haliza binti Saibun, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Johor; Puan Hajah Hairul Nadiah binti Dato’ Awang, Penolong Pengarah Unit Pengurusan Sekolah Rendah, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor; Encik Herman Anak Untam, Wakil Rasmi Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru; Puan Norazahfazila binti Mohd Din, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Johor Bahru; Puan Norhafizah binti Sukhimee, Guru Besar Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru, dan Encik Mohd Sidek Bin Roslan, Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-kanak Daerah Johor Bahru.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor