Program Infaq Jumaat Johor

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas cetusan ilham Program Infaq Jumaat Johor yang terus menyemarakkan budaya memberi, sekali gus menjadi inspirasi kepada Bangsa Johor untuk mendekati masjid, menyemai nilai keprihatinan serta membudayakan amalan berinfaq dalam kehidupan bermasyarakat.

Syukur Alhamdulillah, Program Infaq Jumaat Johor telah dilaksanakan sebanyak 5,660 kali di seluruh negeri dengan manfaat kepada 2.2 juta penerima. Inisiatif ini melibatkan 1,043 masjid dan surau Jumaat, dilaksanakan di sekitar 538 lokasi setiap minggu merangkumi semua DUN, dengan peruntukan RM1,000 bagi setiap pelaksanaan.

Pada kesempatan ini, saya berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah di Masjid Jamek Bandar Baru Uda serta menyantuni masyarakat setempat daripada pelbagai latar belakang yang turut hadir ke masjid. Kehadiran semua mencerminkan semangat Bangsa Johor yang saling menghormati, berkongsi rezeki dan memperkukuh kebersamaan tanpa mengira perbezaan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 mengingatkan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali antara satu sama lain. Nilai inilah yang kita pupuk apabila masjid menjadi ruang yang menyatukan, merapatkan hubungan dan menyemai rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Marilah kita bersama-sama memperkukuh amalan berinfaq dan bersedekah agar manfaatnya terus meluas kepada masyarakat yang memerlukan. Semoga segala usaha ini diberkati Allah SWT serta menjadi sebab turunnya rahmat, keamanan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada negeri dan seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #InfaqJumaatJohor  #RapatkanSaf