Inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Kampung Orang Asli Berasau, Kluang, Johor
Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II, atas kesudian merasmikan projek di bawah Inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Kampung Orang Asli Berasau, Kluang, Johor.
Kampung Orang Asli Berasau yang terletak di kawasan pedalaman Kluang menempatkan seramai 86 penduduk, dengan majoritinya daripada suku kaum Jakun. Kehidupan masyarakat di sini banyak bergantung kepada aktiviti pertanian, perikanan sungai serta hasil hutan sebagai sumber rezeki. Menyedari keperluan ini, Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan terus komited memastikan pembangunan yang lebih tersusun dan inklusif agar setiap komuniti termasuk di kawasan pedalaman, turut merasai limpahan kemajuan negeri.
Antara inisiatif utama yang digerakkan ialah pemasangan sistem solar off-grid sebagai sumber tenaga alternatif bagi mengatasi kekangan ketiadaan bekalan elektrik daripada TNB di kampung ini. Usaha ini mencerminkan pendekatan proaktif Kerajaan Negeri dalam mencari penyelesaian praktikal dan berimpak tinggi, sekali gus membuka akses kepada tenaga yang mampu menyokong pembelajaran anak-anak, aktiviti ekonomi dan kehidupan harian penduduk.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Johor terus memperluas pelbagai usaha merangkumi pembangunan infrastruktur asas, bantuan kebajikan, pendidikan, keusahawanan serta pemerkasaan komuniti Orang Asli di seluruh negeri. Usaha ini membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan negeri mahupun negara.
Semoga pelaksanaan projek dan inisiatif ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Kampung Orang Asli Berasau serta menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan komuniti Orang Asli di negeri Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




