Program Semarak Subuh Di Masjid Jamek Bandar Baru Uda

Kepada Allah Kita Berserah.

‎لا حول ولا قوة إلا بالله

Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Syukur Alhamdulillah, Program Semarak Subuh Johor terus dilaksanakan secara istiqamah sebagai usaha menghidupkan institusi masjid, memperkukuh budaya menuntut ilmu serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Saya berkesempatan menunaikan Solat Subuh berjemaah bersama para jemaah di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru, serta mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh Tuan Haji Zulkifli bin Muhammad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, bertajuk “Rahsia Keberkatan dalam Hidup.”

Tazkirah yang disampaikan mengingatkan bahawa keberkatan merupakan nikmat yang tidak ternilai daripada Allah SWT. Keberkatan bukan diukur pada banyaknya harta atau tingginya pangkat, tetapi pada ketenangan hati, kecukupan hidup serta manfaat yang dikurniakan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Antara pengisian utama tazkirah ialah peringatan mengenai tiga perkara yang boleh menghilangkan keberkatan dalam kehidupan, iaitu menderhaka kepada ibu bapa, menjauhkan diri daripada majlis ilmu serta memperoleh rezeki daripada sumber yang haram. Justeru, marilah kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa, istiqamah menghadiri majlis ilmu serta memastikan setiap rezeki yang diperoleh adalah halal lagi diberkati.

Tazkirah ini turut mengingatkan bahawa keberkatan hadir bersama pengorbanan. Dalam keluarga mahupun kepimpinan, setiap amanah menuntut keikhlasan, pengorbanan dan tanggungjawab. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dipimpinnya.”

Semoga Allah SWT mengurniakan keberkatan dalam setiap urusan kita, memelihara negeri Johor yang kita cintai ini serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dan istiqamah melakukan kebaikan. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #RapatkanSaf 

Skip to content