Program Semarak Subuh Johor X Geng Subuh Macam Jumaat
Syukur Alhamdulillah, gembira hati saya dapat solat berjemaah dengan hampir 5,000 orang yang telah hadir mengimarahkan Program #SemarakSubuhJohor X #GengSubuhMacamJumaat bertempat di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
لاحول ولا قوة إلا بالله
لاحول ولا قوة إلا بالله
Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata. Terima kasih @alifsatar dan kepada semua yang sudi hadir.
Selepas solat, kami berpeluang mendengar tazkirah yang mengingatkan kita bahawa nafsu sering mendorong manusia untuk merasa tidak cukup dengan apa yang dimiliki. Oleh itu, kita perlu memupuk diri agar sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan Allah SWT, serta memanfaatkan waktu yang ada dengan sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Dengan kedatangan Ramadhan yang semakin hampir, inilah masa yang terbaik untuk kita memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan mempersiapkan diri untuk menyambut bulan yang penuh berkat ini. Semoga kita sentiasa istiqamah dalam mencintai masjid, menjaga solat berjemaah, dan memperbanyakkan amalan yang mendekatkan kita kepada-Nya. Insya-Allah.
Pada kesempatan ini, saya turut ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang turut menjayakan program ini, termasuklah BHP Petrol, Waqaf An-Nur, serta semua penyumbang dan pihak pengurusan masjid.
Semoga Program Semarak Subuh Johor ini terus menjadi pemangkin kebangkitan jiwa umat Islam di Johor. Ia bukan sahaja menghidupkan masjid dengan solat berjemaah, tetapi juga dengan majlis ilmu yang memperkaya roh dan jiwa kita. Di samping itu, ia mengukuhkan ukhuwah di kalangan umat Islam.
Marilah kita terus bersama-sama istiqamah dalam mencintai masjid dan menjaga solat berjemaah, menjadikan setiap amalan kecil sebagai asbab keberkatan dan rahmat dari Allah SWT. Semoga usaha kita ini dapat memperkukuh ikatan ukhuwah dan membawa kebaikan kepada semua. Dengan keberkatan iman dan ukhuwah, Johor akan terus maju dalam lindungan Alah SWT. Insya-Allah.
Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakhbar.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor