Program Semarak Subuh: Masjid Habib Hassan Al-Attas
Rasulullah SAW bersabda: “Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi harinya.” (Riwayat Abu Dawud)
Syukur Alhamdulillah, Program Semarak Subuh kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya. Program ini dilaksanakan 3 kali seminggu di setiap daerah di negeri Johor.
Marilah seluruh Bangsa Johor yang beragama Islam, kita terus berazam dan istiqamah dalam mengimarahkan masjid dan menyemai budaya Subuh berjemaah.
Minggu ini, saya bersama ratusan jemaah berkesempatan menunaikan solat Subuh di Masjid Habib Hassan Al-Attas serta mengikuti tazkirah daripada Al-Fadhil Ustaz Haji Ishaq Hanis bin Ismail, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ.
Tazkirah bertajuk “Azam Dunia dan Azam Akhirat” mengajak kita memperbaharui tekad di awal tahun 2026 iaitu menyempurnakan yang tertangguh, memperbaiki kelemahan, dan melangkah ke arah kebaikan.
Setiap insan memiliki kekurangan, namun Allah SWT mengetahui potensi besar setiap hamba. Kita perlu mengimbangi urusan duniawi dan ukhrawi kerana amanah dan tanggungjawab besar diberikan Allah SWT kepada setiap manusia untuk memakmurkan bumi ini.
Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pintar ialah orang yang menghisab dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati.” Maksudnya, orang bijak sentiasa menilai diri, memperbaiki kekurangan dan memastikan setiap amalan dunia memberi manfaat untuk akhirat.
Sama-samalah kita berdoa agar tahun 2026 ini membawa lebih banyak kejayaan dan kemajuan untuk negeri Johor. Semoga kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara dan berada dalam lindungan Allah SWT.
Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #GengSubuhMacamJumaat #RapatkanSaf




